Berikut adalah sebuah soal jawap mengenai insurans yang disiarkan di dalam Ahkam Online

Apakah hukum mengenai Insurans hayat / Nyawa ? Bagaimanakah insurans nyawa secara Islam (Takaful) dijalankan ?

Ahkam

Insurans Nyawa

Islam tidak menolak konsep insurans. Secara am insurans ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli untuk mengwujudkan satu tabung atau dana kewangan bersama yang khusus bagi tujuan membantu ahli ketika ditimpa musibah. Amalan seumpama ini selaras dengan tuntutan Islam. Kerjasama saling membantu dan perihatin kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti yang tersirat dalam konsep insurans adalah selari dengan tuntutan Islam, sebagaimana maksud hadis yang bermaksud :

"Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia." (Riwayat Ibnu Majah)

Konsep insurans sudah lama dipraktikkan. Dalam zaman Jahiliah ia adalah antara beberapa bentuk amalan kerjasama di kalangan puak atau suku kaum Arab sebagai strategi membantu sesama mereka apabila ada golongan atau ahli yang menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan, rompakan dan sebagainya. Malahan kini diperakui bahawa insurans telah berkembang daripada amalan Islam. Walaubagaimanapun ulamak umumnya sepakat bahawa operasi insurans dalam bentuknya sekarang tidak menepati hukum syarak.

Jika konsep insurans diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam pelbagai jenis polisi yang disediakan oleh syarikat insurans sekarang didapati bercanggah dengan kehendak syarak ? Misalnya, Jawatankuasa Fatwa, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan, dalam mesyuarat pada 15hb. Jun, 1972, memutuskan bahawa insurans nyawa sebagaimana dijalankan oleh syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah suatu muamalat yang fasid kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam dari segi aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik, yang mana hukumnya menurut Islam adalah HARAM.

Selain itu, Akademi Feqah Islam (Majmak Fiqh) yang mana anggotanya terdiri daripada ulamak dari seluruh dunia Islam termasuk Malaysia dan diasaskan di bawah Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22 hingga 28hb. Disember 1995 memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insurans, bahawa kontrak perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans mengandungi unsur yang membawa kepada fasid. Yang demikian, menurut Majmak Fiqh, ia HARAM di sisi syarak.

Daripada kedua-dua keputusan, ini jelas menunjukkan ulamak sependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Ulamak memutuskan perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans sekarang tidak menepati hukum syarak kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad jual beli. Di bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insurans yang menjual polisi insurans yang menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri.

Jual beli dalam Islam mempunyai rukun tertentu. Sekiranya salah satu rukun itu tidak dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.

Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan mu'qadalaih (apa yang diakadkan). Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah jelas dan tidak mengandungi unsur 'gharar'. Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka akad jual beli menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah saw mengikut sabda baginda yang bermaksud :

"Rasulullah saw melarang jual beli secara baling batu dan jual beli gharar" (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, ulamak menjelaskan gharar dalam salah satu daripada tiga sebab berikut :

Dalam konteks ini, ulamak berpendapat perkara ke-3 di atas menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans. Dalam setiap urusan, Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan kebaikan. Unsur gharar menafikan kedua-dua prinsip ini. Mana-mana kontrak jual beli yang mengandungi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya boleh membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalah jual beli gharar.

Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian wang tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak memenuhi kewajipan, tempoh atau tanggungjawap tertentu seperti membatalkan atau memecahkan akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual beli seperti ini, tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan kebaikan kepada akid atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi pembeli yang menyumbangkan wang.

Takaful

Berbeza dengan insurans, takaful sebagai satu bentuk perniagaan adalah tidak berasas kepada akad jual beli. Dalam hubungan ini, peserta takaful tidak membeli produk daripada syarikat takaful dan sebaliknya syarikat takaful tidak menjual produk itu seperti syarikat-syarikat insurans menjual polisi insurans. Apapun konspep takaful, seperti insurans, tetap mementingkan dan menghayati amalan kerjasama, tolong-menolong, setiakawan atau ringkasnya saling jamin menjamin di antara mereka.

Umumnya, struktur perjalanan takaful tidak banyak berbeza dengan insurans. Di satu pihak ada peserta yang melanggani produk takaful daripada pihak yang menyediakan produk itu, iaitu syarikat takaful.

Kedua-dua pihak ini akan memetraikan akad. Oleh kerana wang sumbangan dibayar oleh peserta dengan tujuan untuk menabung dan mendapat untung sambil berniat untuk membantu rakan peserta yang memerlukan bantuan ketika ditimpa musibah, maka operasi takaful lebih berbentuk satu usaha pelaburan. Yang demikian, wang sumbangan peserta tidak menjadi hak syarikat. Sedangkan di bawah jual beli insurans, wang premium menjadi hak syarikat insurans sebagai balasan pemegang polisi membeli polisi insurans daripada syarikat berkenaan.

Sesuai dengan struktur operasinya, ulamak memutuskan bahawa akad takaful HARUS berasaskan prinsip al-mudharabah atau berkongsi untung dalam perniagaan. Peserta akan mendapat untung daripada bahagian tabungan atas pulangan pelaburan yang dijalankan oleh syarikat takaful. Pada waktu yang sama, peserta juga bersetuju menyumbang sebagai tabarru' (derma) sebahagian daripada sumbangan dan untung pelaburan ke atasnya bagi tujuan membantu rakan peserta yang ditimpa kesusahan.

 

Muka depan

Perbezaan antara insurans dengan takaful

Contoh pertanyaan

Khutbah Jumaat

Kesimpulan

Perbincangan