Khutbah Jumaat - Insurans menurut pandangan Islam

Disahkan oleh Datuk Haji Tamyiz bin Abdul Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor

Dibaca di Masjid Besar Shah Alam 12hb. Mei, 2000

Sidang Jumaat yang dihormati Allah

Umat Islam wajib mengamalkan ajaran dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan termasuklah sistem kewangan dan sistem perlindungan insurans yang berlandaskan kepada syariat atau hukum syarak. Hal ini amat penting dipraktikkan demi membina ekonomi Islam yang lengkap untuk kemudahan umat.

Memandangkan perlindungan adalah satu keperluan dan tidak boleh diambil ringan oleh setiap anggota masyarakat bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya musibah atau tragedi maka salah satu bentuk perlindungan yang boleh disertai selama ini oleh umat Islam ialah insurans.

Insurans boleh difahami sebagai satu akidah di mana satu kumpulan masyarakat berikrar untuk mengumpul segala usaha dan sumber untuk mengwujudkan satu pakatan untuk saling bekerjasama sesama mereka jika ditakdirkan sesiapa sahaja di antara mereka ditimpa musibah. Melalui pakatan ini, ahli kumpulan yang dilanda musibah itu akan mendapat manfaat perlindungan yang biasanya dalam bentuk sejumlah wang. Dengan adanya manfaat seumpama ini diharapkan apa-apa bebanan yang terpaksa dipikul akibat musibah yang menimpa akan dapat diringankan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Sesetengah orang mempertikaikan apakah sistem yang wujud dalam insurans ini sebenarnya datang dari Islam atau rekaan dari Barat ? Sebenarnya sistem perlindungan yang disebut insurans ini berasal dari kaedah yang digunakan oleh pedagag-pedagang Arab di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Mereka merupakan generasi pertama yang mempraktikkan konsep perlindungan selama ini. Mereka berdagang dengan merentasi padang pasir, membawa barang dagangan menggunakan unta, mengembara daripada sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain secara berkumpulan (khafilah). Dalam menjalankan urusniaga seperti ini mereka sentiasa terdedah kepada kemungkinan berlakunya pelbagai bahaya, musibah dan bencana seperti rompakan oleh lanun padang pasir, dilanda ribut padang pasir, pembunuhan dan lain-lain ancaman sehingga boleh menyebabkan bukan sahaja kerugian, kemusnahan dan kehilangan barang dagangan mereka, malah juga boleh mendatangkan ancaman kepada nyawa pedagang-pedagang itu sendiri.

Bagi mengatasi atau meringankan ancaman dan bebanan ini maka pedagang-pedagang Arab pada ketika itu telah saling berpakat antara mereka mengagih-agihkan barang dagangan kepada beberapa khafilah atau rombongan perniagaan. Oleh itu jika ditakdirkan berlaku sesuatu musibah ke atas mana-mana khafilah, maka kerugian, kemusnahan dan kehilangan harta benda yang dialami hanya sekadar terhad kepada khafilah yang ditimpa musibah itu sahaja dan tidak kepada khafilah-khafilah yang lain.

Apabila agama Islam datang dan seterusnya tertegak negara dan kerajaan Islam di Madinah, maka beberapa sistem yang diamalkan mengikut adat resam Arab sebelum itu terus dikekalkan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Antara sistem ini ialah yang berkaitan dengan prinsip bantu-membantu dan saling bekerjasama di kalangan masyarakat. Di dalam masyarakat kita di kampung-kampung khususnya terdapat juga amalan yang berteraskan prinsip saling bantu-membantu dan bekerjasama sesama ahli masyarakat seperti perlaksanaan tabung khairat kematian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Penyertaan umat Islam khususnya dalam pelbagai bentuk kemudahan perlindungan yang disediakan oleh sesetengah syarikat insurans ini telah menimbulkan keraguan kepada mereka dari segi hukum syarak. Ini disebabkan mereka merasakan bahawa perjalanan perlindungan insurans ini tidak selari mengikut hukum syarak. Sehubungan dengan ini, para ulamak dan pakar perundangan Islam dari negara-negara Islam telah menjalankan kajian terperinci mengenai kaedah pengendalian dan perjalanan syarikat insurans. Pada umumnya mereka berpendapat kontrak insurans yang berasaskan akad jualbeli tetapi tidak menepati rukun jualbeli mengikut syarak kerana mengandungi tida unsur yang menyebabkan kontrak tersebut tidak selari dengan kehendak hukum syarak. Tiga unsur yang dimaksudkan itu ialah :

1 – Gharar

Gharar memberi erti tidak jelas, kabur dan terdapat penipuan dalam perjanjian. Islam mensyaratkan bahawa sesuatu perjanjian yang hendak dimeterai antara mana-mana pihak mestilah jelas tentang perkara yang menjadi isi kepada perjanjian tersebut. Contohnya apabila musibah berlaku maka pihak syarikat mesti membayar tuntutan yang telah dijanjikan. Tetapi di dalam perjanjian, ada sesetengah pihak tidak menjelaskan bagaimana dan beberapa jumlah tuntutan itu dibayar, sekian banyak tuntutan yang dijanjikan. Maka ini dinamakan gharar, begitu juga dengan mana-mana perjanjian yang terlalu berat sebelah sehingga boleh membawa kepada kerugian kepada satu pihak yang berjanji, maka perjanjian itu juga dikira mengandungi unsur gharar yang diharamkan itu.

2 – Judi

Iaitu apabila pihak yang memeterai perjanjian tidak membuat apa-apa tuntutan dalam tempoh yang ditetapkan maka dia tidak akan mendapat apa-apa manfaat walaupun sebelum ini dia telah membayar caruman kepada syarikat. Maka caruman itu dikira hangus begitu sahaja, kecuali jika pihak yang mencarum tersebut membuat tuntutan disebabkan sesuatu musibah dalam tempoh tertentu. Konsep membayar tuntutan hanya apabila berlaku musibah dan tanpa tuntutan ianya dikira hangus, maka ianya sama dengan konsep perjudian kerana ada unsur pertaruhan.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quraan AlKarim surah Al-Maidah ayat 90 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menyembah berhala dan bertenung nasib adalah amalan keji daripada amalan syaitan. Justeru itu, hendaklah kamu menjauhinya mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan”

3 – Riba

Iaitu mengenakan bayaran tambahan yang tinggi bagi setiap hutang yang diberikan mengikut tempoh yang dipersetujui oleh pihak yang terlibat dengan urusan tersebut. Ia merupakan satu amalan yang diharamkan oleh syarak dalam aktivit-aktiviti kewangan dan pelaburan sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quraan AlKarim surah Al-Baqarah ayat 278 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba (dalam urusan kamu) sekiranya kamu benar-benar orang yang beriman”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Majlis Akadami Feqah Al-Islam yang dihadiri oleh pakar perundangan syariat dalam pelbagai disiplin ilmu dari seluruh dunia dalam satu persidangan pada bulan disember 1985 telah memperakukan bahawa perjanjian insurans yang mengandungi tiga unsur yang disebutkan tadi adalah tidak selari dengan landasan syariat. Insurans yang harus di sisi Islam hendaklah semestinya berlandaskan kepada prinsip kerjasama. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :

“Bekerjasamalah kamu dalam perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan yang boleh menimbulkan permusuhan. Sesungguhnya Allah amat keras siksaNya”

Berdasarkan maksud ayat Al-Quraan tersebut, agama Islam menghendaki umatnya agar bekerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam hal-hal kebajikan dan sebaliknya melarang kita bantu-membantu dalam melakukan kejahatan serta bermusuh-musuhan. Dalam masyarakat Melayu, amalan bantu-membantu dalam kebajikan ini sudah lama dilaksanakan. Pepatah Melayu ada menyebut :

"Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Setitik jadikan selaut. Sekepal jadikan segunung”

Misalnya bagi meringankan beban kerja dan menjimatkan belanja maka usaha bergotong-royong oleh penduduk sesebuah kampung dalam sesuatu aktiviti kemasyarakatan menjadi amalan biasa satu ketika dahulu. Begitu juga dengan tabung khairat kematian yang diwujudkan di kampung-kampung yang biasanya berpusat di masjid atau surau bagi mambantu waris atau tangungan mana-mana ahli kariah ayng meninggal dunia. Melalui tabung khairat kematian ini, ahli-ahli akan mambayar sejumlah wang dan daripada wang yang terkumpul inilah kahirat kematian akan dibayar kepada ahli waris yang meninggal dunia itu.

Berdasarkan hakikat ini, insurans secara Islam hendaklah berasaskan prinsip saling bekerjasama dan bantu-membantu dan berpandukan ciri-ciri ini jugalah maka ulamak feqah memutuskan bahawa sistem insurans yang boleh diterima mengikut landasan syariat hendaklah berasaskan kepada konsep Takaful. Justeru itu, menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk menyertai perlindungan insurans yang berkonsepkan Takaful seperti yang diamalkan oleh beberapa negara seperti Sudan, Arab Saudi, Malaysia dan lain-lain lagi. Semoga kehidupan umat Islam hari ini dalam menyertai perlindungan insurans itu tidak menyimpang daripada landasan syariat yang sebenarnya.

 

Muka depan

Perbezaan antara insurans dengan takaful

Contoh pertanyaan

Khutbah Jumaat

Kesimpulan

Perbincangan